Meringankan Beban Mereka yang Tersayang
عَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا بِمَكَّةَ وَهُوَ يَكْرَهُ أَنْ يَمُوتَ بِالْأَرْضِ الَّتِي هَاجَرَ مِنْهَا قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ ابْنَ عَفْرَاءَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ قَالَ لَا قُلْتُ فَالشَّطْرُ قَالَ لَا قُلْتُ الثُّلُثُ قَالَ فَالثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ
Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam datang menziarahi ku ketika ku di Mekah. Baginda tidak suka untuk mati di tempat yang baginda berhijrah daripadanya. Baginda berkata: Semoga Allah merahmati Ibn ‘Afra’. Aku berkata: Ya Rasulullah, aku mewasiatkan harta ku kesemuanya. Baginda menjawab: Tidak boleh. Aku berkata: Separuh? Baginda menjawab: Tidak boleh. Aku berkata: Sepertiga? Baginda: Ya, sepertiga, dan sepertiga itu sudah banyak.
إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ وَإِنَّكَ مَهْمَا أَنْفَقْتَ مِنْ نَفَقَةٍ فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ حَتَّى اللُّقْمَةُ الَّتِي تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ وَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَكَ فَيَنْتَفِعَ بِكَ نَاسٌ وَيُضَرَّ بِكَ آخَرُونَ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ يَوْمَئِذٍ إِلَّا ابْنَةٌ
Sesungguhnya jika engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia. Sesungguhnya engkau akan membelanjakan harta engkau dan ia akan sesungguhnya adalah sedekah hatta makanan yang engkau suapkan ke mulut isteri engkau. Allah akan memanjangkan umur engkau lalu orang ramai akan mendapat manfaat daripada engkau dan sebahagian orang (iaitu musyrikin) akan mendapat mudharat daripada engkau. Beliau tidak memiliki waris kecuali seorang anak perempuan.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wasoya, hadis no: 2591].
Dalam menjalani kehidupan, pelbagai keperluan dan kehendak dilengkapkan demi memenuhi fitrah kehidupan yang menginginkan kesenangan dan kesempurnaan hidup. Keperluan dan kehendak ini dikecapi dengan hasil daripada pekerjaan yang dilakukan.
Sebahagian daripada keperluan dan kehendak ini didapatkan dengan menggunakan wang tunai seperti makanan, minuman serta perbelanjaan runcit yang lain seperti perkhidmatan telefon, elektrik, air dan lain-lain. Manakala sebahagian yang lain pula didapatkan dengan menggunakan kemudahan pinjaman seperti tempat tinggal dan kenderaan.
Segala keperluan dan kehendak ini akan terus didapatkan selagi mana diberikan daya dan upaya di samping kesihatan yang baik serta diberi kesempatan untuk terus bekerja. Malah, ia ditambahbaik dari masa ke semasa apabila mendapat kenaikan pendapatan dari tahun ke tahun.
Namun, kesempatan kehidupan ini terdedah kepada dua kebarangkalian. Muda, jika tidak tua. Sihat, jika tidak sakit. Lapang, jika tidak sempit. Kaya, jika tidak miskin dan hidup, jika tidak mati. Maka, kebarangkalian ini akan datang dalam kehidupan sama ada kita suka atau tidak. Kesannya adalah kepada kehidupan yang telah dan sedang dibina.
Segala perbelanjaan mesti dilunaskan tidak kira bagaimana keadaan kehidupan ketika itu. Maka, wang hibah takaful boleh digunakan untuk memenuhi segala perbelanjaan sekiranya berlaku keadaan yang tidak diingini terutamanya kepada pasangan yang merupakan satu-satunya pencari rezeki (breadwinner). Dengan demikian, bebanan ke atas mereka yang tersayang (yang menjaga ketika sakit atau ditinggalkan selepas meninggal dunia) dapat diringankan.
Apa Contoh Bebanan yang boleh diringankan?
Sekurang-kurangnya ada tiga (3) perkara bagi meringankan bebanan mereka yang tersayang.
Pertama: Meringankan bebanan hutang pinjaman perumahan.
Kedua: Meringankan bebanan mengimbangi gaya hidup baru dengan bebanan hutang-hutang lain.
Ketiga: Meringankan bebanan meneruskan simpanan aktif bagi keperluan keluarga dan anak-anak.
Meringankan Bebanan Hutang Pinjaman Perumahan
Secara lazimnya, setiap pinjaman perumahan ada disertakan dengan skim perlindungan yang dinamakan sebagai Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT) atau Mortgage Level Term Takaful (MLTT) bagi melindungi peminjam sekiranya berlaku hilang upaya kekal dan menyeluruh (Total and Permanent Disability – TPD) atau kematian ke atas peminjam.
Ia berfungsi dengan menyediakan sejumlah wang yang akan digunakan untuk melangsaikan baki hutang pinjaman perumahan apabila berlaku TPD atau kematian ke atas peminjam. Dengan demikian, peminjam tidak terbeban untuk membayar hutang pinjaman perumahan terutamanya apabila berlaku TPD ke atas peminjam yang sudah tidak berupaya lagi untuk bekerja dan meraih pendapatan.
Demikian juga ia tidak membebankan mereka yang tersayang sekiranya berlaku kematian ke atas peminjam kerana skim perlindungan ini akan berfungsi melangsaikan hutang pinjaman perumahan.
Jadi, apa kaitannya hibah takaful dengan hutang pinjaman perumahan?
Bagi sesetengah pinjaman, skim perlindungan (MRTT atau MLTT) melindungi peminjam sepanjang tempoh pinjaman. Bagi sesetengah yang lain pula, skim perlindungan ini hanya melindungi peminjam dengan tempoh yang lebih pendek daripada tempoh pinjaman.
Contoh:
Tempoh pinjaman 30 tahun, tempoh perlindungan 30 tahun; atau
Tempoh pinjaman 30 tahun, tempoh perlindungan 20 tahun; atau
Tempoh pinjaman 30 tahun, tempoh perlindungan 15 tahun; atau
Tempoh pinjaman 30 tahun, tempoh perlindungan 10 tahun, atau sebagainya.
Keadaan ini boleh berlaku disebabkan faktor keupayaan kewangan peminjam. Pada kebiasaanya bayaran caruman perlindungan akan disekalikan dengan jumlah pinjaman. Dengan demikian, bayaran bulanan pinjaman perumahan menjadi lebih tinggi. Jadi, bagi mengimbangi keupayaan kewangan peminjam, tempoh perlindungan akan diselaraskan agar jumlah bayaran bulanan berada dalam keupayaan kewangan peminjam.
Sekiranya berlaku keadaan di mana tempoh perlindungan adalah kurang daripada tempoh pinjaman, perlindungan tambahan boleh diambil melalui perlindungan Takaful (dengan fungsi hibah) untuk tempoh pinjaman berbaki. Dengan demikian, baki hutang boleh dilangsaikan dengan menggunakan kombinasi MRTT/MLTT dan Takaful apabila berlaku TPD atau kematian ke atas peminjam agar sesiapa pun tidak terbeban dengan hutang pinjaman akibat ketidakupayaan peminjam untuk membayar hutang pinjaman perumahan kesan daripada TPD atau kematian.
Perlindungan ke atas Aset tak Alih - Situasi 1
Meringankan bebanan mengimbangi gaya hidup baru dengan bebanan hutang-hutang lain.
Akibat daripada TPD atau kematian bukan sahaja meninggalkan kesan kepada hutang pinjaman perumahan, tetapi ia juga memberi kesan kepada perbelanjaan harian keluarga serta hutang-hutang lain yang ditinggalkan seperti hutang kad kredit, hutang pinjaman peribadi, hutang kereta dan lain-lain. Keadaan ini menambahkan bebanan terhadap diri sendiri (jika berlaku TPD) dan kepada mereka yang tersayang (jika berlaku kematian kepada breadwinner).
Dengan mengambil contoh sebuah keluarga yang mempunyai 3 orang anak dengan seorang bapa yang mempunyai pendapatan RM100,000 setahun (kira-kira RM8,000 sebulan) dan seorang ibu, suri rumah sepenuh masa, kehilangan pendapatan secara mendadak akibat TPD atau kematian ke atas bapa/suami akan membebankan pasangan (isteri) untuk mengimbangi dan meneruskan kehidupan baru.
Dengan perlindungan Takaful yang diambil oleh bapa/suami, wang pampasan takaful yang dihibahkan kepada pasangan (isteri) boleh digunakan bagi memenuhi keperluan harian seperti sebelum berlakunya TPD atau kematian ke atas bapa/suami. Dengan demikian, bebanan mereka yang tersayang dapat diringankan disamping kesedihan yang sedang mereka lalui.
Meringankan bebanan meneruskan simpanan aktif bagi keperluan keluarga dan anak-anak.
Perancangan untuk masa hadapan juga merupakan sebahagian pengisian dalam kehidupan berkeluarga. Ini bagi memastikan keperluan masa hadapan dapat dipenuhi terutamanya keperluan pendidikan anak-anak selain kegunaan pada masa persaraan. Sebuah tabung simpanan mestilah dibuat dan simpanan secara aktif juga mestilah dilakukan bagi mencapai maksud tujuan itu.
Kebiasaanya simpanan aktif ini hanya boleh dilakukan selagi mana penyimpannya masih lagi boleh bekerja dan pelan simpanan meningkat mengikut kadar tambahan pendapatan yang diperolehinya setiap tahun. Sekiranya pelan simpanan ini tidak dicarum seperti yang sepatutnya, maka jumlah akhir yang disasarkan berkemungkinan besar gagal dicapai.
Selain faktor tidak mencarum dengan disiplin seperti yang sewajarnya, faktor penyimpan berhadapan dengan TPD atau kematian juga bakal menjadikan jumlah akhir simpanan yang disasarkan tidak dicapai. Kesannya, simpanan yang telah dibuat berkemungkinan digunakan bagi menampung kehidupan (jika berlaku TPD) atau jumlah simpanan tidak mencukupi (jika berlaku kematian).
Dengan Hibah Takaful, wang pampasan tersebut boleh digunakan bagi menampung semua keperluan simpanan sekiranya berlaku TPD atau kematian ke atas pasangan yang merupakan sumber utama pendapatan. Maka, ringanlah beban mereka yang tersayang dengan bantuan kewangan yang diterimanya melalui Hibah Takaful.
Apa Lagi yang boleh dilakukan dengan wang Hibah Takaful?
Sedakah Jariah.
Selain memberikan hibah/hadiah kepada ahli keluarga untuk meringankan beban mereka, amalan sedakah juga digalakkan untuk meringankan beban saudara-saudara seagama serta sebagai tanda kasih dan sayang.
Wang Hibah Takaful ini boleh didermakan kepada mana-mana masjid, madrasah, rumah-rumah anak yatim dan rumah-rumah penjagaan orang tua-tua atau mana-mana organisasi kebajikan sebagai sumbangan terakhir untuk manfaat diri dan semua.
Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”
Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)
Mudah-mudahan kebaikan yang berpanjangan diperolehi melalui sumbangan sedakah ini serta tautan kasih sayang terikat dikalangan ahli keluarga serta umat seluruhnya.